Memang seronok membaca buku-buku yang mengajar kita tentang kejayaan menyertai bisnes. Banyak penulis menulis tentang bagaimana jutawan-jutawan dilahirkan melalui perniagaan yang adakalanya tampak begitu menggiurkan.
Sekiranya anda membaca buku tulisan Fred De Luca, iaitu "Start Small Finish Big" yang merupakan pengasas restoran "SUBWAY" di Amerika Syarikat dan sekarang ke seluruh dunia sehingga ke Malaysia, anda akan dapati kisah-kisah yang ditonjolkan begitu menaikkan semangat. Ia menaikkan bulu roma anda sehinggakan anda mahu berhenti kerja sekarang juga dan memulakan bisnes. Semangat anda meluap-luap untuk berjaya dan anda sangat yakin kejayaan itu cuma beberapa tapak di hadapan anda.
Tunggu dulu! Saya ingin menyarankan anda membeli sebuah buku penulis tempatan iaitu Ainon Mohd dengan bukunya yang bertajuk "Memulakan Bisnes Sendiri" terbitan PTS Publishing. Ketika saya membaca buku ini, saya tertarik kerana ia amat berlawanan dengan buku Fred De Luca.
Buku ini merupakan edisi kemas kini yang merupakan cetakan kelima. Mempunyai 69 buah bab dengan dibahagikan di dalam 11 bahagian. Bahasanya tersusun dan ceritanya berkisar kisah benar dunia perniagaan.
Ada 2 isi penting di dalam banyak isi-isi penting yang ditulis yang begitu menarik minat saya. Yang pertama ialah bakat. Ainon Mohd menulis, sekiranya kita mula berniaga ketika umur kita melepasi 40 tahun bermakna kita sebenarnya tiada bakat berniaga. Setuju atau tidak, ia merupakan idea yang menarik. Mengikut Ainon, sekiranya kita mempunyai bakat di dalam perniagaan, kita sudah mula berniaga ketika kita masih muda. Tak kiralah bekerja untuk orang sekalipun, kita akan mula berniaga secara kecil-kecilan. Orang yang berniaga ketika melepasi umur 50 tahun tidak mempunyai bakat berniaga. (Kolonel Sanders - pengasas KFC berjaya di ketika umurnya 60 tahun!)
Saya terfikir, bagaimana setelah 35 tahun di dalam perkhidmatan kerajaan atau makan gaji, mereka mula ingin berniaga. Ketika itu, umur sudah 56 tahun, wang gratuiti pula banyak di tangan, dan mereka baru terfikir untuk berniaga. Kebanyakannya berpendapat untuk mengisi masa mereka yang terluang. Daripada membuang masa, baik berniaga. Tetapi saudara-saudari, amat merisaukan sekiranya wang tunai yang banyak itu lenyap serta-merta kerana risiko perniagaan tersangat tinggi dengan rekod kegagalan hampir 90% dalam masa setahun. Sekiranya gagal, dengan keadaan umur sebegitu, pasti akan mengundang padah. Namun begitu, tidak dapat dinafikan, kebijaksanaan dan pengalaman mereka amat berharga sekiranya mereka ingin meneruskan hasrat ini.
Yang Kedua, ialah idea bahawa orang melayu percaya bahawa peniaga cina ingin menjatuhkan mereka di dalam persaingan. Ainon Mohd menjelaskan bahawa ini adalah atitud peniaga melayu yang sering mencari kesalahan orang lain apabila gagal di dalam persaingan. Secara realiti, peniaga cina yang yang adakalanya menjadi pembekal mahukan para pengedar atau pekedai yang dibekalnya, tidak kira melayu atau cina berjaya. Sekiranya pengedarnya berjaya di dalam perniagaan, sudah tentu perniagaan pembekalnya juga akan berjaya. Ini adalah situasi menang-menang.
Di dalam buku ini, Ainon menceritakan bagaimana ada pembekal cina membantu peniaga bumiputera di dalam mencadangkan strategi untuk berjaya di dalam perniagaan dengan berkongsi ilmu pengetahuan dan membantu dari segi kredit membekal barang mentah. Yang menyedihkan. ada juga atitud orang melayu yang tidak memegang pada janji yang menyebabkan bukan sahaja pembekal cina, malah sama-sama melayu pun tidak percaya. Siapa yang harus dipersalahkan jikalau tidak diri sendiri.
Ada banyak lagi isi-isi penting yang saya sendiri dapat mengambil iktibar di dalam buku "Memulakan Bisnes Sendiri" tulisan Ainon Ahmad ini. Kadangkala ada perlunya kita mengkaji kelemahan-kelemahan saudara kita untuk memperbaiki diri sendiri. Biarlah kita belajar dari kelemahan-kelemahan orang lain yang gagal di dalam perniagaan daripada kita belajar kepahitan pengalaman itu daripada kegagalan diri sendiri. Melangkah setapak ke belakang untuk melangkah tiga tapak ke hadapan adalah sesuatu yang bijak dan praktikal di dalam dunia perniagaan. Saya cadangkan anda membeli buku ini untuk koleksi anda.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan